Ahad, 5 November 2023

PENJODOH BILANGAN

 Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan untuk membilang kata nama konkrit seperti orang, haiwan, benda, tempat dan sebagainya


Contoh-contoh penggunaan penjodoh bilangan :

Penjodoh
Bilangan
Digunakan untuk
Ayat Contoh
angkatan
Kumpulan benda dan manusia. Contoh: kapal perang, penulis, pelukis, tentera, sasterawan
1  Dua angkatan perang itu telah diserang hendap oleh pihak musuh.
2   Dua orang anggota angkatan tentera Pakistan telah terbunuh dalam pertempuran itu.
baris
Benda atau manusia yang berbaris.
Contoh: bangku, kedai,, murid, orang, pokok, rumah,
1   Tiga baris tulisannya itu sangat cantik dan kemas.
2   Sebaris kedai itu telah dicat dengan warna-warna pelangi.
batang
Benda-benda yang panjang. Contoh: sungai, pen, pensel, gigi, berus gigi, tiang, lilin
1   Sebatang gigi Zaini telah patah akibat terjatuh basikal.
2   Tujuh batang jejari basikal itu tela bengkok.
bentuk
Benda-benda yang berkeluk. Contoh: mata kail, cincin, subang
1   Karim memancing udang itu dengan menggunakan sebentuk mata kail yang halus.
2   Tiga bentuk cincin itu telah berkarat.
bidang
Benda-benda yang luas bidangnya.
Contoh: layar, tikar, tanah, sawah, permaidani
1   Pak Kassim telah menjual sebidang sawahnya untuk melangsaikan hutangnya itu.
2   Dua bidang permaidani itu telah digigit tikus.
biji
Benda-benda yang bersaiz kecil.
Contoh: buah-buahan, telur
1   Setiap pagi, Kamal makan dua biji telur ayam separuh masak.
2   Pak Mat membawa pulang tiga biji nangka muda dari kebunnya.
bilah
Benda-banda yang tajam. Contoh: pisau, keris, parang
1   Tiga bilah parang yang tumpul itu telah diasah oleh Salim.
2   Shima menyiang ikan itu dengan sebilah pisau.
buah
Benda-benda yang tidak tentu bentuk atau saiznya.
Contoh: kenderaan, bandar, negara, bangunan
1   Tiga buah beg kulit itu dijual dengan harga  
yang murah.
2   Di dalam bilik itu terdapat beberapa buah almari lama.
buku
Benda-benda yang berbuku atau berbongkah.
Contoh: sabun, roti
1   Zaidah menghulurkan sebuku roti keras kepada  adiknya.
2   Dia meletakkan tiga buku sabun itu di dalam almari.
butir
Benda-benda yang kecil saiznya dan agak bulat bentuknya.
Contoh: telur, manik, permata
1   Yusri telah memecahkan dua butir telur ayam.
2   Dua butir mutiara itu amat tinggi nilainya.
carik/cebis
Benda-benda yang telah dikoyakkan menjadi cebisan kecil.
Contoh: kain, kertas
1   Secebis kertas yang berwarna ungu terletak di atas meja tulis itu.
2   Jururawat itu membalut luka pada tangan pesakit itu dengan secarik kain putih.
cucuk
Benda-benda yang dicucuk dengan lidi.
Contoh: sate, buah-buahan
1   Mereka memesan tiga puluh cucuk sate.
2   Manan menghulurkan dua cucuk buah mangga itu kepada adiknya.
das
Bunyi tembakan atau letupan senjata api.
Contoh: senapang, meriam, pistol
1   Dua das tembakan penembak upahan itu tidak menepati sasarannya.
2   Dari arah bukit itu kedengaran bunyi beberapa das tembakan senapang.
ekor
Haiwan atau binatang.
Contoh: ular, kuda, rusa, gajah, kucing, kambing
1   Zaki memelihara beberapa ekor anak ayam.
2   Dua ekor kuda itu gagal sampai ke garisan penamat kerana kakinya tercedera.
gugus
Benda yang bergugus  atau berangkai.
Contoh: buah anggur, kelapa sawit, pulau
1   Tiga gugus buah anggur yang dibeli oleh
Osman itu telah busuk.
2   Beratnya segugus kelapa sawit itu ialah 100 kilogram.
helai
Benda-benda yang nipis dan lebar.
Contoh: baju, kain batik, tudung, kertas, daun, seluar
1   Sarimah memakai sehelai selendang merah ke majlis itu.
2   Beberapa helai daun kari dimasukkan ke dalam bahan penumis itu.
hiris
Benda-benda yang dipotong nipis.
Contoh: bawang, daging, tomato, timun
1   Aini meletakkan dua hiris bawang merah itu di piring.
2   Puan Nina menghulurkan beberapa hiris timun kepada  suaminya.
ikat
Benda-benda yang berikat. Contoh: rotan, kayu, sayur-sayuran, buah-buahan
1   Dua ikat sayur bayam itu dijual dengan harga RM1.00.
2   Adik membeli dua ikat rambutan gading.
jambak
Contoh: kunci, bunga
1   Aris menghadiahi isterinya itu sejambak bunga.
2   Kassim menggantungkan sejambak kunci di
tepi pintu biliknya.
kaki
Benda-benda yang seolah-olah berkaki.
Contoh: payung, cendawan, bunga
1   Siti meminta ibu membelikannya sekaki
     payung.
2   Dua kaki cendawan pelanduk itu telah busuk.
kawan
Binatang
Contoh: kambing, burung, kerbau, lembu, gajah, zirafah
1   Sekawan burung merpati terperangkap di dalam jaring yang dipasang oleh pemburu itu.
2   Sekawan kerbau sedang berkubang di tengah sawah itu.
kelompok
Benda, manusia, haiwan, bintang, binatang, awan dan pulau yang berkumpul
1   Beberapa kelompok bintang kelihatan di langit.
2   Dua kelompok awan itu kelihatan berarak ke sebelah timur.
kepal
Benda-benda yang diambil dengan genggaman tangan. Contoh: nasi, pulut, beras, pasir
1   Ibu menyuapkan sekepal nasi ke dalam mulut adik.
2   Karim mengambil dua kepal pulut kuning itu
     lalu beredar dari situ.
keping
benda-benda yang nipis. Contoh: kertas, papan, roti, gambar, biskut, kad
1   Dua keping poskad itu diterimanya dua hari
     yang lalu.
2   Di atas meja tulis itu terdapat beberapa keping  gambar ayah Marzuki.
kerat
Benda-benda yang telah dikerat-kerat.
Contoh: kayu, rotan, buluh, pensel
1   Ayah menggunakan sekerat rotan untuk
     memukul ular itu.
2   Dua kerat kayu itu telah reput.
ketul
Benda-benda yang berketul. Contoh: batu, air batu, daging
1   Hassan mengambil seketul batu lalu
     melontarkannya ke arah anjing itu.
2   Dua ketul sabun itu berjenama Lux.
kotak
Benda-benda yang diisikan di dalam kotak.
Contoh: mancis, sabun, rokok
1   Pak Ali menyuruh Salman membelikannya
     sekotak mancis api.
2   Tiga kotak air minuman itu ialah hadiah
     daripada abangnya.
kuntum
Contoh: bunga
1   Di sanggul wanita itu terselit sekuntum bunga.
2   Dua kuntum bunga mawar itu telah layu.
laras
Benda-benda yang berlaras.
Contoh: meriam, senapang
1   Perompak tu bersenjatakan selaras senapang patah.
2   Dua laras meriam lama itu masih tersimpan di Muzium Pulau Pinang.
lembar
Benda-benda yang panjang. Contoh: benang, tali
1   Beberapa lembar benang digunakan untuk
     mengikat pensel itu.
2   Selembar tali rafia tersangkut pada dinding bilik  itu.
naskhah
Contoh: buku, majalah, surat khabar, kitab
1   Siti membeli senaskhah surat khabar.
2   Rokiah melanggan dua naskhah majalah wanita setiap bulan.
orang
manusia/orang
1   Dua orang pelancong Jepun itu memuji
     kecantikan negara Malaysia.
2   Lima orang juutera tempatan terbunuh dalam kemalangan ngeri jalan raya itu.
papan
Benda-benda yang berkeping-keping.
Contoh: petai, mercun
1   Ayah meminta adik menyerahkan dua papan mercun itu kepadanya.
2  Kamisah membeli beberapa papan petai untuk  dibuat ulam.
pasang
benda-benda yang berpasangan.
Contoh: kasut, anting-anting, subang, baju
1   Halim membeli sepasang but bola berjenama Nike.
2   Dua pasang subang itu bernilai RM5000.00.
patah
perkataan
1   Tidak sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya.
2   Hamid menulis beberapa patah perkataan pada kertas itu.
pintu
rumah atau kedai yang panjang dan berbaris.
1   Tiga pintu rumah kedai itu telah dijual kepada Bank Rakyat.
2   Hartawan itu memiliki beberapa pintu rumah sewa.
potong
Benda-benda yang telah siap dipotong.
Contoh: kuih, daging, roti
1   Dua potong kuih lapis itu sedang dihurung
     lalat.
2   Beberapa potong kayu api itu masih bernyala.
pucuk
Rebung, surat, pistol
1   Kakak menerima sepucuk surat daripada abang  yang sedang belajar di London.
2   Hasnah merebus dua pucuk rebung itu untuk menghilangkan rasa pahitnya.
puntung
Rokok atau kayu yang berlebih daripada yang dibakar
1   Di atas lantai itu terdapat beberapa puntung rokok.
2   Hassan memindahkan beberapa puntung kayu  api itu ke bawah rumah.
rangkap
Benda-benda yang berangkap. Contoh: pantun, syair, sajak, gurindam, seloka
1   Kakak Salmah mengarang beberapa rangkap pantun.
2   Ali tidak faham akan maksud dua rangkap 
sajak itu.
rawan
jaring atau jala
1   Pak Harun mencari ikan dengan menggunakan serawan jala.
2   Dua rawan jaring itu digunakan untuk menangkap ikan laut dalam.
sikat/sisir
Benda-benda yang berbentuk sikat atau sisir.
Contoh: pisang
1   Tiga sikat pisang emas itu telah dijualnya
     sebentar tadi.
2   Dua sisir pisang nangka itu telah dimakan
     burung.
tandan
Buah-buahan yang bertandan atau bergugus-gugus.
Contoh: kelapa, pisang
1   Dua tandan kelapa itu berjaya diturunkan oleh  monyet itu.
2   Kassim memikul setandan pisang dari ladangnya.
tangkai
Benda yang bertangkai. Contoh: bunga, buah-buahan yang bertangkai
1   Kamil memetik setangkai buah rambutan yang telah masak itu.
2   Zaidi memetik dua tangkai bunga ros lalu memberikannya kepada Zainab.
ulas
Isi buah-buahan.
Contoh: limau, nangka, cempedak, durian
1   Beberapa ulas nangka itu telah dimakan ulat.
2   Siti meletakkan dua ulas cempedak itu ke dalam piring.
untai
Contoh: madah, pantun, syair, sajak
1   Percubaannya untuk menulis seuntai madah
akhirnya tercapai juga.
2   Tamrin menulis seuntasajak dalam buku  catatan hariannya itu.
urat
Contoh: benang, rambut, tali
1   Pada nasi itu terdapat seurat benang hitam.
2   Beberapa urat rambutnya telah bertukar warna.
utas
Contoh: tali, rantai
1   Pak Seman menggunakan seutas tali belati
     untuk mengikat lembu tu.
2   Kakak memakai seutas rantai emas yang baru dibelinya itu.

Isnin, 30 Oktober 2023

HAIWAN KESAYANGAN

 

Selasa                                                                        31 Oktober 2023

Haiwan Kesayangan Saya


Banyak haiwan jinak  yang boleh dijadikan haiwan kesayangan . Antara  haiwan  yang jinak ialah kucing , arnab  dan  tikus  belanda .

   
                    Saya  mempunyai  haiwan  kesayangan . Haiwan  kesayangan  saya  ialah  kucing . Saya memberi  nama kucing itu ialah  Comel . Bulu  Comel  sangat  lebat . Warna  bulu  Comel  hitam  kekuningan . Saya  memelihara  Comel  sejak  tiga  tahun  yang  lepas .
               
                    Kucing  peliharaan  saya , pada  asalnya  dibeli  di  sebuah  kedai kucing peliharaan  yang  berhampiran  dengan  rumah  saya . Semasa  di  kedai  saya  melihat  banyak kucing dijual  di   situ . Saya amat tertarik dengan seekor kucing yang dijual di situ , lalu ayah terus membayarnya dengan harga RM300 kepada penjual kucing itu .


                    Setiap minggu , saya akan memandikan Comel . Saya juga memberi Comel makan makanan khas untuk kucing tiga kali sehari . Ibu saya juga menyediakan tempat khas untuk Comel . Setiap petang , saya akan melapangkan masa untuk bermain dengan Comel . Setiap kali saya memanggil namanya , Comel terus berlari ke arah saya .


                    Saya sangat menyayangi Comel . Saya akan menjaga Comel sehingga akhir hayatnya . 

Ahad, 22 Oktober 2023

KARANGAN BERITA

 Cara penulisan Karangan jenis berita


1. Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
2. Berita mesti menjawab soalan Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di Mana ? dan Bagaimana?
3. Apa ?
Menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi persoalan berita
Memberi maklumat kepada keseluruhan berita
4. Siapa ?
Nama yang terlibat perlu penjelasan lengkap
Jika perlu sertakan usia pelaku
5. Bila ?
Menerangkan masa peristiwa itu berlaku
Tarikh yang tepat

 Kejadian jenayah ataupun kemalangan perlu letakkan waktu’

1. Mengapa ?
Sebab-sebab peristiwa berlaku
Jika sebab-sebab belum diketahui , nyatakan “belum diketahui” atau “pihak polis belum mendapat bukti”

2. Di mana ?
Tempat kejadian peristiwa
Jika nama tempat kurang diketahui umum sebagai contoh, daerah yang terpencil, letakkan sekali nama negeri

3.Bagaimana ?
Menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangannya. 
 Mulakan penulisan dengan mencatatkan ‘tempat’ (huruf besar) diikuti dengan tarikh peristiwa itu berlaku.

Contoh : JERTEH, 24 Disember -

Tulis secara ringkas tentang saripati peristiwa yang berkenaan termasuk tarikh dan masa peristiwa itu berlaku. (Sebaik-baik tulis saripati kepada peristiwa yang berkenaan dalam satu perenggan sahaja.)

4. Pastikan agar pengenalan kamu dapat menarik perhatian pembaca.

5. Gunakan bahasa yang ringkas tetapi padat.

6. Perenggan yang berikutnya ialah tentang huraian-huraian yang lebih ‘panjang-lebar’.

7. Nyatakan bahagian penutup secara ringkas



CONTOH KARANGAN BERITA
SOALAN;
Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Rangka.

1. PENDAHULUAN:

Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI

a)       berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.
b)              membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima  orang ditahan -salah seorang ialah
          pakar mekanik.
c)       polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

          seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki
berkenaan.


CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.
          Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.
          Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik
          Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.
          Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Ah Chong .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan.

KARANGAN CEREKA

 


Cara penulisan karangan cereka.

Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi

Memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.
Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.

Contoh soalan cereka

Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

1.      Cerita yang hendak ditulis hendaklah berdasarkan tajuknya.

2.      Cuba menulis cerita yang dapat menarik minat pembaca.

3.      Jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan kamu tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

4.      Jangan menulis sampai meleret-leret, berhati-hatilah dengan peruntukan masa yang diberikan

*Pengenalan            - tinggal sendirian

                              - baca buku cerita  


Perenggan ke-2          -mendengar suara riuh-rendah
                              -menjenguk ke luar
                               -suatu kebakaran berlaku

Perenggan ke-3         - ramai orang mula berkumpul
                               -cuba membantu memadamkan kebakaran
                               -membantu memunggahkan barang

Perenggan ke-4       - aku terus menelefon pihak bomba
                              -ahli-ahli bomba tiba

Penutup                  -kebakaran dapat dikawal
                             -berasa sungguh gembira


          Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendirian di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.
          Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.
          Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.
          Tanpa berlengah-lengah lagi , saya terus menelefon pihak bomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ.
          Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

Selasa, 17 Oktober 2023

KAWAN BAIK SAYA

Salin karangan yang diberi kemudian tukar maklumat-maklumat penting kepada maklumat kawan baik kamu.


Kawan Baik Saya

             Kawan baik adalah orang yang rapat dengan kita.Tidak kiralah sama ada di sekolah atau di luar.Kawan baik juga merupakan orang yang boleh dipercayai.Kita boleh saling berkongsi masalah atau rahsia dengan kawan baik.Dengan itu,kita akan berasa lega selepas berkongsi masalah atau rahsia yang ada.

              Saya juga mempunyai kawan baik.Nama kawan baik saya ialah Nur Aishah Sulliely bt Mohd Lee atau lebih mesra dipanggil Sullie.Saya dan Sullie berkongsi umur dan tarikh lahir yang sama iaitu berumur 12 tahun dan lahir pada 14 September 2001.Sullie merupakan anak sulung dari 4 orang adik-beradik.Dia merupakan seorang kakak yang baik hati,prihatin dan bertanggungjawab.Dia dan keluarga tinggal di Taman Seri Indah,Damansara dan berasal dari Seoul,Korea Selatan.

             Sullie yang berdarah kacukan Malaysia dan Korea ialah seorang pendengar yang setia.Dia juga merupakan seorang murid yang pandai.Walaupun kerap mendapat tempat pertama dalam peperiksaan,Sullie tidak pernah sombong atau berlagak.Malah dia sering membantu rakan-rakan yang lemah dalam pelajaran termasuk saya.

             Sullie amat cemerlang dalam matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. Oleh itu,saya sering berkunjung ke rumahnya untuk mempelajari Sains dan Bahasa Inggeris, manakala dia pula akan datang ke rumah saya untuk belajar Matematik dan Bahasa Melayu dari saya.Sullie tidak pernah mementingkan diri.Sebelum membuat apa-apa,dia akan memikirkan kesan terhadap dirinya dan orang lain.Oleh sebab itulah dia dipilih sebagai Ketua Murid.