Isnin, 30 Oktober 2023

HAIWAN KESAYANGAN

 

Selasa                                                                        31 Oktober 2023

Haiwan Kesayangan Saya


Banyak haiwan jinak  yang boleh dijadikan haiwan kesayangan . Antara  haiwan  yang jinak ialah kucing , arnab  dan  tikus  belanda .

   
                    Saya  mempunyai  haiwan  kesayangan . Haiwan  kesayangan  saya  ialah  kucing . Saya memberi  nama kucing itu ialah  Comel . Bulu  Comel  sangat  lebat . Warna  bulu  Comel  hitam  kekuningan . Saya  memelihara  Comel  sejak  tiga  tahun  yang  lepas .
               
                    Kucing  peliharaan  saya , pada  asalnya  dibeli  di  sebuah  kedai kucing peliharaan  yang  berhampiran  dengan  rumah  saya . Semasa  di  kedai  saya  melihat  banyak kucing dijual  di   situ . Saya amat tertarik dengan seekor kucing yang dijual di situ , lalu ayah terus membayarnya dengan harga RM300 kepada penjual kucing itu .


                    Setiap minggu , saya akan memandikan Comel . Saya juga memberi Comel makan makanan khas untuk kucing tiga kali sehari . Ibu saya juga menyediakan tempat khas untuk Comel . Setiap petang , saya akan melapangkan masa untuk bermain dengan Comel . Setiap kali saya memanggil namanya , Comel terus berlari ke arah saya .


                    Saya sangat menyayangi Comel . Saya akan menjaga Comel sehingga akhir hayatnya . 

Ahad, 22 Oktober 2023

KARANGAN BERITA

 Cara penulisan Karangan jenis berita


1. Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
2. Berita mesti menjawab soalan Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di Mana ? dan Bagaimana?
3. Apa ?
Menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi persoalan berita
Memberi maklumat kepada keseluruhan berita
4. Siapa ?
Nama yang terlibat perlu penjelasan lengkap
Jika perlu sertakan usia pelaku
5. Bila ?
Menerangkan masa peristiwa itu berlaku
Tarikh yang tepat

 Kejadian jenayah ataupun kemalangan perlu letakkan waktu’

1. Mengapa ?
Sebab-sebab peristiwa berlaku
Jika sebab-sebab belum diketahui , nyatakan “belum diketahui” atau “pihak polis belum mendapat bukti”

2. Di mana ?
Tempat kejadian peristiwa
Jika nama tempat kurang diketahui umum sebagai contoh, daerah yang terpencil, letakkan sekali nama negeri

3.Bagaimana ?
Menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangannya. 
 Mulakan penulisan dengan mencatatkan ‘tempat’ (huruf besar) diikuti dengan tarikh peristiwa itu berlaku.

Contoh : JERTEH, 24 Disember -

Tulis secara ringkas tentang saripati peristiwa yang berkenaan termasuk tarikh dan masa peristiwa itu berlaku. (Sebaik-baik tulis saripati kepada peristiwa yang berkenaan dalam satu perenggan sahaja.)

4. Pastikan agar pengenalan kamu dapat menarik perhatian pembaca.

5. Gunakan bahasa yang ringkas tetapi padat.

6. Perenggan yang berikutnya ialah tentang huraian-huraian yang lebih ‘panjang-lebar’.

7. Nyatakan bahagian penutup secara ringkas



CONTOH KARANGAN BERITA
SOALAN;
Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Rangka.

1. PENDAHULUAN:

Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI

a)       berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.
b)              membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima  orang ditahan -salah seorang ialah
          pakar mekanik.
c)       polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

          seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki
berkenaan.


CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.
          Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.
          Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik
          Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.
          Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Ah Chong .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan.

KARANGAN CEREKA

 


Cara penulisan karangan cereka.

Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi

Memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.
Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.

Contoh soalan cereka

Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

1.      Cerita yang hendak ditulis hendaklah berdasarkan tajuknya.

2.      Cuba menulis cerita yang dapat menarik minat pembaca.

3.      Jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan kamu tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

4.      Jangan menulis sampai meleret-leret, berhati-hatilah dengan peruntukan masa yang diberikan

*Pengenalan            - tinggal sendirian

                              - baca buku cerita  


Perenggan ke-2          -mendengar suara riuh-rendah
                              -menjenguk ke luar
                               -suatu kebakaran berlaku

Perenggan ke-3         - ramai orang mula berkumpul
                               -cuba membantu memadamkan kebakaran
                               -membantu memunggahkan barang

Perenggan ke-4       - aku terus menelefon pihak bomba
                              -ahli-ahli bomba tiba

Penutup                  -kebakaran dapat dikawal
                             -berasa sungguh gembira


          Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendirian di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.
          Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.
          Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.
          Tanpa berlengah-lengah lagi , saya terus menelefon pihak bomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ.
          Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

Selasa, 17 Oktober 2023

KAWAN BAIK SAYA

Salin karangan yang diberi kemudian tukar maklumat-maklumat penting kepada maklumat kawan baik kamu.


Kawan Baik Saya

             Kawan baik adalah orang yang rapat dengan kita.Tidak kiralah sama ada di sekolah atau di luar.Kawan baik juga merupakan orang yang boleh dipercayai.Kita boleh saling berkongsi masalah atau rahsia dengan kawan baik.Dengan itu,kita akan berasa lega selepas berkongsi masalah atau rahsia yang ada.

              Saya juga mempunyai kawan baik.Nama kawan baik saya ialah Nur Aishah Sulliely bt Mohd Lee atau lebih mesra dipanggil Sullie.Saya dan Sullie berkongsi umur dan tarikh lahir yang sama iaitu berumur 12 tahun dan lahir pada 14 September 2001.Sullie merupakan anak sulung dari 4 orang adik-beradik.Dia merupakan seorang kakak yang baik hati,prihatin dan bertanggungjawab.Dia dan keluarga tinggal di Taman Seri Indah,Damansara dan berasal dari Seoul,Korea Selatan.

             Sullie yang berdarah kacukan Malaysia dan Korea ialah seorang pendengar yang setia.Dia juga merupakan seorang murid yang pandai.Walaupun kerap mendapat tempat pertama dalam peperiksaan,Sullie tidak pernah sombong atau berlagak.Malah dia sering membantu rakan-rakan yang lemah dalam pelajaran termasuk saya.

             Sullie amat cemerlang dalam matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. Oleh itu,saya sering berkunjung ke rumahnya untuk mempelajari Sains dan Bahasa Inggeris, manakala dia pula akan datang ke rumah saya untuk belajar Matematik dan Bahasa Melayu dari saya.Sullie tidak pernah mementingkan diri.Sebelum membuat apa-apa,dia akan memikirkan kesan terhadap dirinya dan orang lain.Oleh sebab itulah dia dipilih sebagai Ketua Murid.

KAMPUNG SAYA

Arahan : Salin karangan di bawah dan tukarkan maklumat maklumat penting contohnya nama kampung kepada nama kampung kamu. Tukar juga perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kampung kamu.


Kampung Saya

Saya tinggal di sebuah kampung kecil. Nama kampung saya ialah Kampung Baru Sendayan. Penduduk-penduduk di sini berjumlah lebih kurang 600 orang. Mereka ini terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India.

Di kampung saya terdapat sebuah klinik dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Di tepi jalan raya ada sederet kedai yang menjual barang- barang keperluan. Sebuah gelanggang bola keranjang dan badminton juga telah dibina di sini baru-baru ini. Ramai pemuda-pemudi bermain bola di sini pada tiap-tiap petang.

Penduduk-penduduk di kampung saya melakukan berbagai-bagai pekerjaan. Ada yang bekerja sebagai penoreh getah, pekebun, penjaja, guru dan lain-lain lagi. Kehidupan mereka adalah tenteram dan nyaman.

Saya suka tinggal di kampung ini. Di sini udara bersih dan segar. Penduduk-penduduk juga bergaul mesra antara satu sama lain dan hidup dalam keadaan aman dan damai.

Selasa, 10 Oktober 2023

KATA ADJEKTIF

Baca nota dan salin 20 soalan serta berikan jawapan yang tepat melalui pautan dibawah.

Pautan nota dan soalan

AYAT SAMA MAKSUD

Salin dan jawab soalan no 1 hingga 10 sahaja.

Pilih satu jawapan yang sesuai sahaja.

Klik pautan dibawah untuk menjawab soalan.

TULIS AYAT SAMA MAKSUD.

Antonim

 Klik pautan di bawah dan salin seta pilih satu sahaja jawapan yang tepat.


Latihan Antonim

Rabu, 4 Oktober 2023

BAHASA MELAYUNTAHUN 6 (KELUARGA SAYA)

 

Keluarga Saya


            Keluarga bermakna seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri atau berserta anak-anak. Saya bernama Aisyah Najihah. Saya menuntut di Tahun 6 di SK (P) Methodist. Saya berasal dari sebuah keluarga yang sederhana.

            Keluarga saya terdiri daripada empat orang ahli keluarga, iaitu ayah, ibu, kakak dan saya. Ayah saya seorang peniaga manakala ibu saya seorang suri rumah tangga. Kakak saya, Amira Nazirah seorang pelajar Tingkatan 4 di SMK Tanah Putih.

            Ayah saya seorang lelaki yang ringan tulang dan bertanggungjawab. Beliau bekerja keras untuk mencari rezeki bagi menyara hidup kami sekeluarga. Walaupun beliau sibuk bekerja tetapi beliau tetap meluangkan masa untuk menemani kami. Ibu saya seorang wanita yang lemah-lembut dan penyayang. Beliau menjaga makan minum kami bagai menatang minyak yang penuh. Ibu sering menyediakan lauk-pauk yang enak untuk kami. Ayah sering memuji masakan ibu. Saya suka makan makanan yang disediakan oleh ibu, terutamanya kari ayam.

            Saya ialah anak bongsu dalam keluarga saya. Hubungan saya dan kakak saya sangat erat seperti isi dengan kuku. Kami sentiasa belajar dan bermain bersama-sama. Kakak selalu memberi tunjuk ajar kepada saya dalam pelajaran. Kami juga sering berkongsi isi hati dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

            Pada hujung minggu, kami sekeluarga akan bersiar-siar di tepi pantai. Kata ayah, hari minggu adalah hari keluarga. Ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pada cuti sekolah pula, kami akan makan angin di dalam ataupun di luar negara. Ayah berpendapat, jauh perjalanan luas pengetahuan. Justeru, kita tidak akan menjadi katak di bawah tempurung.

            Saya amat bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Saya berharap agar kami sekeluarga dapat hidup bersama buat selama-lamanya.